SK Taman Awana adalah sebuah institusi yang telah dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Dibangunkan di atas sebidang tanah berkeluasan 10.8 ekar. Terletak di Mukim Hutan Kampung dalam Daerah Kota Setar. Kedudukannya yang berhampiran Bandar Alor Setar telah menjadikan salah sebuah sekolah yang menerima pelbagai kemudahan dan prasarana yang canggih.
Tanggal 21 Jun 2009, SK Taman Awana telah mula beroperasi dengan bilangan pelajar sulung seramai 98 orang. Penempatan pelajar datang dari SK Langgar dan SK Hutan Kampung. Nama SK Taman Awana diambil sempena nama sebuah taman yang terletak di Jalan Langgar.
Bagi memulakan operasi, SK Taman Awana telah diterajui oleh Guru Besar pertama iaitu Tuan Haji Nawawi bin Osman. Beliau telah dibantu oleh Penolong Kanan Pentadbiran bersama 10 orang guru, seorang Pembantu Tadbir serta seorang Pembantu Am Rendah.
Tahun pertama beroperasi bermula dengan 4 buah kelas menempatkan darjah 2 hingga darjah 5. Pada bulan Julai 2009 sekolah mula menerima pelajar program Pendidikan Khas. Pada tahun 2010 pertambahan murid menjadi 208 orang dan guru seramai 18 orang. Berikutan ini, kelas Pra Sekolah mula beroperasi di mana seramai 25 orang pelajar menjadi perintis. Pertambahan pelajar ini juga menyebabkan kelas telah bertambah menjadi 7 kelas.( Tahun 1 hingga Tahun 6 ). Tahun 2010 juga mencatat sejarah di mana pelajar sulung tahun 6 seramai 19 orang mula menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ). Keputusan UPSR yang dicatatkan adalah 63.15%. Seorang pelajar mendapat 5A dan 3 orang pelajar mendapat 4A 1B. Keputusan ini menjadi pemankin kepada warga sekolah untuk lebih cemerlang. Ini bertepatan dengan cogan kata sekolah “ BERUSAHA KE MERCU KECEMERLANGAN “.
Kemudahan infrastruktur yang terdapat di SK Taman Awana terdiri dari 4 blok bangunan yang diklifikasikan sebagai Blok Pentadbiran, Blok Makmal, Blok A dan Blok B. Blok Pentadbiran menempatkan Pejabat Pentadbiran, Bilik Guru, Pusat Sumber, Bilik Mesyuarat, Bilik Kaunseling, Bilik Akses, Kedai Buku, Bilik Pengawas, Bilik Peperiksaan dan Klinik. Blok Makmal menempatkan Pra Sekolah, Bengkel Kemahiran Hidup, Bilik Seni, Bilik Pemulihan, Bilik SAL, Makmal Komputer dan Makmal Sains. Blok A pula ditempatkan Dewan Terbuka, 12 Buah Bilik Darjah, Surau dan Bilik Interaktif Al Quran. Sementara Blok B pula menempatkan 12 Buah Bilik Darjah, Bilik Persalinan dan Bilik Pendidikan Khas. Kemudahan lain yang terdapat meliputi Gelanggang Bola Tampar, Gelanggang Takraw, Gelanggang Bola Jaring, Padang Bola Sepak dan Padang Hoki.